PADAWAN: Program STEM Catalysts yang diperkenalkan sebagai inisiatif jangkauan untuk mencetus minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kini berkembang menjadi platform infrastruktur pendidikan yang menghubungkan murid luar bandar dengan pelbagai peluang dalam ekosistem STEM.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, selepas diperkenalkan tiga tahun lalu, program tersebut berkembang menjadi sebuah program yang kukuh dengan pelibatan murid dari luar bandar di seluruh negeri ini.
Malah, katanya pelibatan semua pihak merangkumi kolej universiti, kolej teknikal, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat yang bersama-sama mendekati murid dan guru dalam memupuk minat serta membangunkan bakat STEM.
“Kementerian saya, dan sememangnya mana-mana kerajaan sekali pun, tidak mampu menyediakan semua perkara ini secara bersendirian. Peranan kami adalah untuk menetapkan dasar, membangunkan infrastruktur pendidikan lembut dan mewujudkan laluan supaya pihak lain turut dapat menyumbang.
“Secara bersama, kita memainkan peranan dalam melahirkan generasi pemimpin masa depan dalam bidang hidrogen, robotik, kecerdasan buatan (AI), cip semikonduktor, angkasa lepas, bioteknologi dan bidang teknologi hadapan yang lain,” katanya berucap pada Perasmian Program STEM Catalysts 2026 Grand Celebration di SMK Padawan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sagah berkata, STEM Catalysts 2026 menerima kerjasama beberapa rakan strategik termasuk Persatuan Kebajikan Rolf Schynder bagi pendidikan pengekodan dan AI serta Pandai Education yang menyediakan platform pembelajaran dalam talian berasaskan gamifikasi.
“Saya turut berbesar hati kerana STEM Catalysts menerima sokongan besar daripada sektor swasta iaitu Persatuan Kayu Sarawak, SOCOE, Sarawak Energy, T&J Engineering, SMD Sarawak dan Press Metal Sarawak,” ujarnya.
Article Name : STEM Catalysts hubungkan murid luar bandar dengan pelbagai peluang
Publication : Suara Sarawak
Author : SS Admin
Start Date : 15 Jun 2026
End Date : 15 Jun 2026