SIBU: Akses kepada pendidikan tinggi dilihat sebagai pemangkin utama memastikan rakyat Sarawak dapat menikmati limpahan kekayaan ekonomi negeri yang kini mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita yang tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, kemajuan ekonomi semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disertai peningkatan tahap pendidikan rakyat yang menjadi asas peningkatan pendapatan isi rumah.
Menurut beliau, usaha memperluas capaian maklumat pendidikan perlu diperkukuh, termasuk melalui penganjuran Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) yang lebih inklusif di seluruh Sarawak.
“Bagi memastikan peluang ini benar-benar dirasai semua lapisan masyarakat, saya mencadangkan penganjuran JMU pada masa akan datang diperluas kepada tiga zon utama iaitu selatan, tengah dan utara.
“Langkah ini penting memandangkan keluasan geografi Sarawak yang besar, sekali gus memastikan akses maklumat pendidikan sampai ke setiapnpelosok negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival JMU Zon Sarawak II di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Tambah beliau, tanpa pendidikan yang mencukupi, kekayaan negeri tidak akan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
“Kita mahu rakyat bukan sekadar melihat angka KDNK yang tinggi, tetapi benar-benar merasai manfaatnya melalui peningkatan taraf hidup. Pendidikan ialah kunci ke arah itu,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka itu turut menekankan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada anak tempatan menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).
Katanya, kelangsungan inisiatif tersebut akan dipastikan melalui Dana Warisan Berdaulat Masa Hadapan Sarawak agar manfaatnya dapat dinikmati generasi akan datang.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, Karnival JMU 2026 merupakan platform penting yang menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan tinggi bagi membantu pelajar merancang masa depan mereka.
“Kami komited untuk terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Tinggi menyediakan ruang kepada pelajar khususnya di Sarawak, untuk meneroka peluang serta membuat keputusan yang tepat mengenai hala tuju pendidikan mereka,” katanya.
Karnival JMU 2026 bertemakan DreamX: Inspiring Your Next Step merupakan program jelajah melibatkan 10 zon di seluruh negara, bermula 29 Januari hingga 26 April.
Program tersebut menawarkan pelbagai aktiviti serta sesi konsultasi melibatkan IPTA, IPTS, politeknik, kolej komuniti dan institusi di bawah MARA, khusus bagi membantu pelajar dan ibu bapa membuat pilihan pendidikan yang lebih tepat.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Prof. Dr. Zainal Amin Ayub dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) Ts. Rudy Adrie Idris.
Article name : Sarawak Fokus pendidikan percuma
Publication : Suara Sarawak
Author : Nurhauni Lee Abdullah
Start date : 28.04.2026
End date : 28.04.2026