News

 

Sarawak perkukuh aspirasi jadi tuan rumah Olimpiad Robot Dunia 2027

Posted on 27 Apr 2026
Source of News: Suara Sarawak (Online)

KUCHING: Pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang robotik mengukuhkan aspirasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak untuk menjadikan wilayah ini sebagai tuan rumah Olimpiad Robot Dunia 2027.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, bidang robotik menjadi bidang kecemerlangan bagi Sarawak.

“Pelajar kita menunjukkan pencapaian luar biasa dengan muncul sebagai juara keseluruhan Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) peringkat kebangsaan sebanyak 10 kali dari tahun 2014 hingga 2025.


Sagah menyampaikan kit robotik kepada wakil salah sebuah sekolah yang menyertai NRC Peringkat Negeri 2026.

“Kejayaan konsisten ini mencerminkan bukan sahaja bakat pelajar kita, tetapi dedikasi para pendidik serta kekuatan ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kit Robotik Sempena Program Pembangunan NRC Peringkat Negeri Tahun 2026 di Auditorium Pustaka Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa sekolah mencatat kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun lalu dalam NRC Peringkat Kebangsaan.

Antaranya, SK Bengoh, Padawan yang muncul juara Robomission Rookie Sekolah Rendah (kategori Sekolah Kebangsaan); SMK Agama Igan, Dalat yang meraih juara Robomission Rookie Menengah Rendah; serta SMK Chung Hua Miri yang memenangi kategori Robomission Pro Menengah Rendah dan Future Innovators Menengah Atas.

“Malaysia mencatat pencapaian membanggakan di Peringkat Akhir WRO 2025 apabila muncul juara keseluruhan di peringkat antarabangsa.

“Menariknya, kontinjen Sarawak diwakili SMK Chung Hua Miri menyumbang besar dengan meraih dua gelaran juara dan satu tempat naib juara daripada keseluruhan pencapaian Malaysia iaitu empat kejuaraan, empat naib juara dan dua anugerah kecemerlangan,” katanya.

Beliau menambah, semua pencapaian ini jelas mencerminkan keberkesanan usaha berterusan dalam memperkukuh pendidikan STEM di seluruh negeri.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 60 buah sekolah di seluruh Sarawak akan menyertai NRC Peringkat Negeri 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 30 Julai 2026 di Sibu. — ZAHID ZAKI | ARIQA HIQQUANNIE (Pelatih UNIMAS)



Article name   : Sarawak perkukuh aspirasi jadi tuan rumah Olimpiad Robot dunia 2027
Publication     : Suara Sarawak (Online)
Author            : Mohd Zahid Ahmad Zaki
Start date       : 23.04.2026
End date        : 23.04.2026