News

 

Golongan muda pemacu transformasi ekonomi Sarawak

Posted on 14 Apr 2026
Source of News: Suara Sarawak (Online)

 

KUCHING: Golongan muda menjadi nadi utama transformasi Sarawak kerana masa depan wilayah ini bergantung kepada keupayaan mereka mengalih ekonomi daripada berasaskan sumber tradisional kepada ekonomi dipacu data dan inovasi.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sejajar dengan itu, Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU) bukan sekadar membantu pelajar memilih kursus pengajian, malah merupakan langkah awal untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam merealisasikan aspirasi pembangunan Sarawak.

“Dalam konteks ini, peranan golongan muda sangat kritikal dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Kerajaan Sarawak telah meletakkan sasaran yang jelas untuk menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju dengan pendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Gunakanlah peluang selama dua hari ini, dari 11 hingga 12 April, untuk berinteraksi dengan pakar pendidikan dan wakil universiti agar keputusan yang diambil hari ini memberi impak positif kepada Sarawak pada tahun 2030 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Perasmian Karnival JMU 2026 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan Sarawak memerlukan modal insan yang mahir dalam sektor pertumbuhan baharu seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen serta pertanian moden yang lestari.

“Oleh itu, saya menyeru para pelajar untuk memilih bidang pengajian yang selari dengan keperluan PCDS 2030. Anda perlu berani meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi hijau serta sains data.

“Sumbangan anda kepada PCDS 2030 bukan sahaja melalui kecemerlangan akademik, tetapi juga melalui keupayaan menjadi penyelesai masalah, pencipta teknologi dan usahawan tekno yang mampu meletakkan Sarawak di peta global.

“Kita tidak mahu anda sekadar menjadi penonton kepada pembangunan, sebaliknya menjadi arkitek yang membina kemajuan Sarawak,” tegasnya.

Mengulas lanjut, katanya kerjasama yang melibatkan peruntukan besar itu mencerminkan keyakinan tinggi terhadap kredibiliti universiti awam (UA) dalam menguruskan acara berimpak tinggi yang menjadi kompas masa depan anak bangsa.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan syabas kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak atas pelantikan sebagai rakan kolaborasi penganjur,” tambahnya.

Beliau menambah, pengisian JMU 2026 turut diperkaya dengan aktiviti interaktif yang menampilkan elemen teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya.

“Pendedahan awal terhadap teknologi tersebut amat penting bagi memastikan anak-anak Sarawak tidak ketinggalan dalam arus revolusi industri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM, Profesor Dr Yamin Yasin berkata JMU 2026 memperluas akses pendidikan kepada pelajar dengan mendedahkan pilihan program pengajian yang ditawarkan oleh universiti di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa UiTM mempunyai tiga kampus di Sarawak iaitu dua di Kota Samarahan dan satu di Mukah, manakala di seluruh Malaysia terdapat 34 kampus dengan jumlah keseluruhan hampir 200,000 pelajar.

“Daripada jumlah itu, seramai 170,000 merupakan pelajar prasiswazah dan 27,000 pelajar pascasiswazah, dengan sebanyak 516 program pengajian ditawarkan,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar menggunakan peluang yang ada untuk mendapatkan maklumat secukupnya sebelum membuat permohonan melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) secara dalam talian.

Untuk rekod, tarikh tutup permohonan UPUOnline telah dilanjutkan sehingga 13 April pada jam 12.00 tengah hari.



Article name : Golongan muda pemacu transformasi ekonomi Sarawak
Publication : Suara Sarawak (Online)
Author : Marcella Nathasia
Start page : 7
End page : 7