KUCHING: Ketegangan geopolitik global yang semakin kompleks menuntut usaha memperluas akses pendidikan undang-undang serta mempertingkat pemahaman terhadap perundangan antarabangsa dalam kalangan generasi masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata pengajian undang-undang kini menjadi semakin penting, khususnya bagi Sarawak dalam melahirkan masyarakat yang memahami asas perundangan serta mampu menilai isu semasa secara lebih kritis.
“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu dengan pelbagai konflik, undang-undang memainkan peranan penting dalam menentukan kaedah penyelesaian di peringkat antarabangsa.
“Bidang undang-undang merupakan satu cabang yang baik untuk diceburi, lebih-lebih lagi ketika dunia berdepan pelbagai ketegangan geopolitik.
“Malah, undang-undang juga berkait rapat dengan isu wilayah seperti undang-undang laut, hak wilayah, perlombongan, perikanan dan ruang angkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU) di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak di sini hari ini.
Menurutnya, silibus pengajian undang-undang ditentukan oleh universiti masing-masing, namun bidang seperti undang-undang antarabangsa dan undang-undang perdagangan antarabangsa telah lama menjadi sebahagian daripada pengajian tersebut sejak beberapa dekad lalu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa bidang undang-undang terbuka kepada semua pelajar, termasuk daripada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Semua orang boleh mempelajari undang-undang, termasuk pelajar daripada bidang STEM kerana ia tidak terhad kepada aliran sastera sahaja.
“Namun, antara subjek penting dalam pengajian undang-undang ialah sejarah kerana banyak prinsip undang-undang berkait rapat dengan perkembangan dan peristiwa lampau,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kefahaman terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan dalam kalangan generasi muda, khususnya bagi memahami maksud, sejarah pembentukan serta hak serta keistimewaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
“MA63 perlu difahami dari segi maksudnya kepada Sarawak, Sabah dan juga Malaysia secara keseluruhan, termasuk bagaimana negara ini dibentuk serta syarat-syarat yang dipersetujui ketika itu.
“Perkara ini sering menjadi topik perbincangan bagi memastikan masyarakat mempunyai pemahaman yang lebih jelas mengenai struktur perundangan dan perlembagaan negara,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa peluang untuk mengikuti pengajian undang-undang kini semakin meluas, bukan sahaja di universiti swasta tetapi juga di institusi awam seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menawarkan program undang-undang dengan kapasiti pengambilan berbeza.
“Program-program ini membantu memperkukuh kefahaman terhadap undang-undang Malaysia serta menyumbang kepada usaha memperbaiki negara.
“Saya juga difahamkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan memulakan program undang-undangnya pada tahun ini,” tambahnya.
Article name : Pengajian Undang-Undang semakin penting
Publication : Suara Sarawak (Online)
Author : Marcella Nathasia
Start page : 7
End page : 7