News

 

Kehilangan Besar Dunia Pendidikan

Posted on 09 Apr 2026
Source of News: SUARA SARAWAK

KUCHING: Kehilangan mendiang Christopher Ling Jia Siang disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia pendidikan, khususnya dalam kalangan bakal pendidik negara.

Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli berkata, mendiang merupakan pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis itu dikenali sebagai individu yang komited terhadap pelajaran serta aktif dalam pelbagai aktiviti kampus sepanjang hayatnya.

“Sifatnya yang mesra dan mudah didekati menjadikan beliau disenangi dalam kalangan rakan dan pensyarah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan jenazah mendiang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, petang semalam.

Jenazah tiba kira-kira jam 4.30 petang dan disambut dalam suasana penuh hiba oleh ahli keluarga terdekat serta wakil institusi pendidikan.

Hadir sama, Pengarah IPGM Kampus Batu Lintang Dr Abang Ismail, Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak Edmund serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Anielia Siam.

Turut hadir rakan seperjuangan mendiang yang memberikan penghormatan terakhir sebagai tanda kasih dan mengenang jasa insan yang disifatkan berdedikasi serta berakhlak mulia.

Menurut sumber, pihak IPGM turut menyelaras urusan penghantaran pulang jenazah bagi memastikan proses berjalan lancar dan teratur.

Sementara itu, orang ramai yang berada di lapangan terbang turut menzahirkan rasa simpati serta berkongsi kesedihan bersama keluarga mendiang.

Jenazah dijangka dibawa ke Chan Funeral Parlor Kuching untuk urusan pengebumian.


Article Name : Kehilangan Besar Dunia Pendidikan
Publication    : Suara Sarawak
Author           : Siti Nurain Ratani
Start Page     : 10
End Page      : 10