News

42 pelajar terima baucar sempena Program Kembali Ke Sekolah SUPP Simanggang
Posted on : 15 Mar 2023  Source of News: Utusan Borneo Online
 

Harden (berdiri tengah) bersama para penerima baucar serta yang lain.

Harden (berdiri tengah) bersama para penerima baucar serta yang lain.

SRI AMAN: Seramai 42 pelajar dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah disantuni sempena Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang di Dewan Serba Guna Kampung Sabu, hari ini.

Terdahulu, bantuan khas berupa baucar untuk pembelian pakaian seragam dan beg sekolah itu julung kali disumbangkan syarikat Kho Su Ming Sdn Bhd dengan kerjasama Jui Kung Trading.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang bersama penyumbang utama Kho Miang Hua dari syarikat Kho Su Ming.

Harden ketika berucap pada majlis ringkas terbabit melahirkan penghargaan kepada penderma, Kho Miang Hua dan Pergerakan Pemuda SUPP Cawangan Simanggang atas inisiatif mencari penderma untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

"Saya mengalu-alukan tindakan pergerakan pemuda yang diketuai Wong Yii Hong mendapatkan penderma untuk membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga membeli pakaian seragam dan peralatan persekolahan pada musim sekolah yang akan tiba iaitu pada 20 Mac ini,” ujarnya.

Turut hadir, Wong dan Kho serta pemilik Jui Kung Trading Yeo Jui Kung, Tuai Rumah John Elie, Kapitan Goh Teo Soon dan Kapitan Ling Siew Hung.