Swinburne Sarawak dan SECA bekerjasama bangun penyampaian Program Pemboleh Digital Sarawak |
Posted on : 14 Mar 2023 Source of News: Utusan Borneo Online |
TERMETERAI: (dari kiri) Chew, Lau dan Wong menandatangani MoU berkenaan. KUCHING: Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) dan Persatuan E-Dagang Sarawak (SECA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan penyampaian Program Pemboleh Digital Sarawak. ADVERTISEMENT Menurut satu kenyataan pihaknya, majlis pertukaran MoU telah diadakan di Swinburne Sarawak pada 9 Mac lalu di mana MoU tersebut ditandatangani oleh wakil kedua-dua belah pihak. Naib Pro Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak Profesor Lau Hieng Ho dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) Profesor Wallace Wong Shung Hui mewakili Swinburne Sarawak manakala SECA diwakili Pengerusinya Chew Heo Lee. Program Pemboleh Digital Sarawak yang dibiayai melalui Dana Bantuan Pemulihan Perniagaan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), bertujuan melengkapkan usahawan dan pemilik perniagaan kecil dengan kemahiran dan pengetahuan digital yang diperlukan untuk prestasi jualan dan pemasaran mereka. Program latihan itu merupakan usaha kerjasama antara Swinburne Sarawak, SECA, Universiti Zhejiang Yuexiu, Pute Holdings dan Akademi Sparkit. Program tersebut terdiri daripada lapan sesi 'perbincangan masa depan' yang meliputi idea perniagaan dan pembangunan cadangan, pemasaran dan penciptaan kandungan serta analisis data dan perjanjian perkongsian, diikuti dengan dua bulan latihan praktikal dan bimbingan. Inisiatif tersebut menandakan satu langkah penting ke arah matlamat Sarawak untuk menjadi ekonomi digital dan hab peneraju inovasi digital di Asia Tenggara yang mempamerkan potensi rantau ini untuk pertumbuhan dan pembangunan. Untuk maklumat lanjut mengenai Swinburne Sarawak, layari laman webnya (www.swinburne.edu.my), halaman Facebook (@swinburnesarawak), Instagram (@swinburnesarawak), halaman Twitter (@Swinburne_Swk) atau saluran YouTube (Swinburne Sarawak). |